Parti Bersatu Sabah
Parti Bersatu Sabah ڤرتي برساتو سابه | |
---|---|
Nama Bahasa Inggeris | United Sabah Party |
Singkatan | PBS |
Presiden | Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili |
Pengerusi | Datuk Claudius Alex Sundang |
Setiausaha agung | Datuk Julita Mojungki |
Timbalan Presiden |
|
Naib Presiden |
|
Pengasas | Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan |
Diasaskan | 5 Mac 1985 (penubuhan dan mesyuarat pertama) |
Didaftarkan | 5 Mac 1985 (dirasmikan) |
Disahkan | 6 Mac 1985 (pengesahan-diluluskan) |
Gabungan | Gabungan pemimpin 1985: Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan ("The Huguan Siou") Encik Kadoh Agundong ("The Giant Killer") Datuk Maximus Ongkili ("The Magnificent Captain Winger") |
Ibu pejabat | Penampang Kiulu Kota Kinabalu |
Sayap pelajar | Sayap Pelajar PBS |
Sayap belia | Pergerakan Belia PBS |
Sayap wanita | Pergerakan Wanita PBS |
Sayap pemuda | Pergerakan Pemuda PBS |
Sayap jentera parti | Pergerakan Markas PBS Barisan Kubu PBS Perikatan Sabah Kinabalu (PERISAI) Sayap jentera PBS-GRS |
Keanggotaan (2022) | 580,000▲ (Disember 2022) |
Ideologi |
|
Agama | Multireligious / Multiracial (perpaduan kepelbagaian bangsa dan agama) |
Penggabungan kebangsaan |
|
Penggabungan antarabangsa | Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (1995-) |
Warna | Biru Terang dan Hijau |
Slogan | |
Lagu parti | Bersatu Dalam PBS |
Gelaran parti | Parti Sang Giant Killer |
Dewan Negara Malaysia (Parlimen) | 0 / 70 |
Dewan Rakyat Malaysia (Parlimen) | 1 / 222 |
Dewan Undangan Negeri Sabah | 7 / 79 |
Simbol pilihan raya | |
Bendera parti | |
(Bendera rasmi sejak 5 Mac 1985)[3] | |
Laman sesawang | |
www |
Negara Anggota ASEAN |
Portal Malaysia |
Parti Bersatu Sabah (bahasa Inggeris: United Sabah Party; singkatan: PBS)[4] ialah sebuah parti politik tempatan pelbagai kaum di Sabah, Malaysia yang ditubuhkan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada tahun 1985 sebagai bukti kebangkitan rakyat Sabah pada era 80'an. Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah parti tempatan Sabah yang paling bersejarah dan tertua di Sabah. Parti ini turut digelar sebagai Parti "Sang Giant Killer" selepas berjaya menumbangkan dua parti terbesar di Sabah ketika itu iaitu USNO dan BERJAYA Sabah. Parti Bersatu Sabah (PBS) merupakan komponen utama bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak tahun 2022.
Parti politik ini pernah menguasai Dewan Undangan Negeri untuk bahagian negeri Sabah pada tahun 1985 sehingga 1994 dengan menewaskan parti gergasi yang ada di Sabah. Parti ini juga menguasai 14 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1990.
Pada tahun 2020, Parti politik tempatan ini telah bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu sebuah gabungan parti-parti tempatan yang mempunyai visi, misi dan ideologi untuk melindungi hak-hak orang asal Sabah dan mengekalkan ketempatan di Sabah serta menyatupadukan rakyat-rakyat di Bawah Bayu. PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memenangi 7 kerusi ADUN Sabah pada PRN Sabah 2020 (berlangsung pada 27 September 2020). Selepas sahaja Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya didaftarkan dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Mac 2022, PBS telah menjadi komponen utama rasmi bagi Gabungan Rakyat Sabah.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Penubuhan
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1984, seorang pemimpin Kadazandusun dalam kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah atau BERJAYA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah dipaksa untuk meninggalkan parti tersebut apabila beliau lantang menentang dasar-dasar kerajaan yang dikatakannya telah menyimpang dari perjuangan asal. Beliau turut dipaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan.
Pairin kemudiannya dengan berani bertanding dalam pilihanraya kecil Tambunan pada Disember 1984 sebagai calon Bebas menentang calon kerajaan. Walaupun dengan berbagai rintangan dan taktik kotor pihak lawan, beliau telah berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti besar, 3,048.
Kemenangan tersebut telah menyemarakkan api perjuangan untuk mengubah senario politik di Sabah serta menegakkan demokrasi dan menentang penyalahgunaan kuasa yang diamalkan pemerintah ketika itu. Satu gerakan baru yang dipimpin Pairin dan disokong secara senyap oleh majoriti akar umbi mula bergerak dan dengan itu, tertubuhnya Parti Bersatu Sabah pada 5 Mac 1985 dengan Pairin sebagai presiden parti.
Kejayaan pilihanraya
[sunting | sunting sumber]PBS yang baru berusia 47 hari telah menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah 1985 dan terus mencipta kejutan dengan memenangi 25 daripda 48 kerusi Dewan Undangan Negeri. Apa yang lebih mengejutkan Ketua Menteri dan presiden BERJAYA, Tan Sri Harris Salleh tewas di Tenom kepada seorang yang langsung tidak terkenal, Kadoh Agundong. Kemenangan Encik Kadoh Agundong yang juga dikenali Giant Killer ini adalah hasil usaha beberapa individu diantaranya Ahjie Ginsuan seorang pengiat politik di kawasan pedalaman, khasnya di Tenom seawal usia beliau. Beliau juga adalah di antara mereka yang bertanggungjawap membawa PARTI BERSATU SABAH di Tenom serta menarik sokongan kaum Cina kepada parti dan juga mengunakan kediaman beliau sendiri di Kampung Lagud sebagai markas pusat PBS ketika Pilihan Raya Negeri Sabah pada tahun 1985 dan Pairin juga merestui markas itu dengan kehadiran beliau sebelum pilihan raya. Penglibatan kaum Murut khasnya suku kaum Murut Timugon dalam politik memperlihatkan mereka sudah bersedia untuk berdiri di kaki sendiri seiring dengan kaum-kaum lain di Sabah serta Malaysia khususnya. Bagi parti pemerintah BERJAYA cuma mampu memenangi 6 kerusi, dengan USNO 16 kerusi serta PASOK 1. Kejayaan ini membolehkan PBS menubuhkan kerajaan dan memerintah negeri Sabah dengan Pairin dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang ke-6.
Setelah rusuhan 1986 yang didalangi parti yang kalah untuk cuba menjatuhkan kerajaan PBS, PBS membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan satu lagi pilihanraya pada Mei 1986. Kali ini PBS berjaya mengukuhkan lagi kedudukan mereka setelah memenangi 34 daripada 48 kerusi. PBS kemudian menyertai Barisan Nasional (BN).
Beberapa hari sebelum pilihanraya 1990, PBS bertindak keluar dari Barisan Nasional dan menyertai Gagasan Rakyat yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka memberi alasan bahawa mereka telah dianaktirikan sewaktu berada dalam BN. PBS terus mencapai kejayaan dengan memenangi 36 daripada 48 kerusi.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1994, PBS menghadapi tentangan hebat daripada BN yang kini diketuai UMNO yang telah melebarkan sayap ke Sabah. Sebelum itu, PBS turut kehilangan beberapa tokoh pemimpinnya seperti mendiang Datuk Mark Koding yang telah menubuhkan AKAR dan Datuk Yong Teck Lee yang telah menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP) di mana mereka telah menyertai Barisan Nasional. PBS turut mendakwa pilihanraya ini dicemari taktik kotor seperti pembelian undi dan pengundi hantu.[5] Di sebalik semua itu, PBS masih mampu menang walaupun tipis iaitu 25 kerusi berbanding BN 23 kerusi. Pairin terpaksa menunggu selama 36 jam di luar Istana sebelum dibenarkan mengangkat sumpah kerana cuba dihalang pihak Barisan Nasional yang nyata tidak dapat menerima keputusan rakyat. Walubagaimanapun, kerajaan ini cuma mampu bertahan dua minggu setelah hampir kesemua wakil rakyatnya bertindak melompat menyertai BN.
Kejatuhan dan cubaan untuk bangkit
[sunting | sunting sumber]Setelah kemenangan tipis dalam pilihanraya 1994, PBS menghadapi tekanan besar dari BN yang ternyata cuba merampas kuasa di Sabah. Kejatuhan PBS bermula apabila 3 orang wakil rakyatnya, Datuk Lajim Hj. Ukin (Klias), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Hj. Zaini Mat Isa (ADUN dilantik) bertindak keluar untuk menyertai UMNO. Ia kemudian diikuti hampir semua wakil rakyatnya yang lain termasuklah Timbalan Presiden Tan Sri Bernard Dompok, Setiausaha Agung Tan Sri Joseph Kurup yang masing-masing telah menubuhkan Parti Demokratik Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, dan adik Pairin sendiri Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Setelah insiden lompat-melompat tersebut, PBS cuma mempunyai 3 wakil rakyat, Pairin, Dr. Maximus Ongkili dan Datu Amirkahar Tun Datu Mustapha. Datu Amirkahar turut menyertai BN beberapa tahun kemudian. Dalam keadaan sedemikian, Pairin tiada pilihan lain selain melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 17 Mac 1994. Keadaan ini menggemparkan seluruh rakyat Sabah.
PBS cuba bangkit semula dengan barisan pemimpin yang baru dan dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1995 berjaya memenangi 8 daripada 20 kerusi Parlimen di Sabah yang juga menyaksikan Jeffrey dan Dompok tewas di tangan calon PBS. Jeffrey kembali ke pangkuan PBS dan membantu parti tersebut untuk menghadapi pilihanraya 1999. Walau bagaimanapun, PBS cuma mampu memenangi 17 daripada 48 kerusi tetapi calon-calonnya berjaya mengalahkan bekas wakil rakyatnya yang telah melompat termasuklah Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Bernard Dompok dan presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup. Peristiwa lompat-melompat berulang semula apabila enam wakil rakyat yang diketuai Jeffrey bertindak melompat menyertai PBRS pada 22 April 2000.
Kembali ke Barisan Nasional
[sunting | sunting sumber]Pada 23 Januari 2002, PBS diterima semula ke dalam Barisan Nasional. Lima wakil rakyat berserta Timbalan Speaker yang telah menyertai PBRS turut kembali ke pangkuan PBS. Setelah memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 4 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004, ahli-ahli PBS turut disertakan dalam kabinet Barisan Nasional negeri dan persekutuan.
Kejatuhan Gabungan Barisan Nasional
[sunting | sunting sumber]Berikutan kejatuhan Gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya Malaysia 2018, Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan untuk meninggalkan gabungan Barisan Nasional Sabah dan membentuk gabungan baru parti-parti di Sabah yang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah (English United Alliance Of Sabah, singkatan: GBS). Gabungan Bersatu Sabah (GBS) Disertai oleh Parti Pimpinan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan iaitu Parti STAR Sabah, Parti Pimpinan Datuk Yong Teck Lee iaitu Parti SAPP, Barisan Pimpinan UMNO - Cawangan Sabah yang diketuai oleh Datuk Bung Moktar Radin, dan beberapa Ahli Bebas yang Diketuai oleh Datuk Hajiji Noor (Yang kini menjadi Presiden ke-3 bagi Parti Gagasan Rakyat Sabah dan Pengerusi sulung bagi Gabungan Rakyat Sabah, singkatan: GRS).
Kebangkitan semula PBS di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
[sunting | sunting sumber]Gabungan Bersatu Sabah kemudian diikuti oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 12 September 2020 yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi menghadapi Pilihan raya negeri Sabah 2020. Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bersetuju untuk bergabung di dalam Gabungan Rakyat Sabah menjadikan PBS salah satu Komponen utama GRS. Presiden PBS, Datuk Maximus Ongkili berkata, "Perikatan GRS ini akan menjadikan politik Sabah berada dalam kedudukan yang baik dan stabil". GRS telah menjadi 'nafas-baru' bagi Parti Bersatu Sabah. Hal ini kerana, PBS menjadi salah satu tumpuan utama di dalam GRS bersama dengan Parti-parti lain di dalam Gabungan tersebut. Kebangkitan semula PBS tercatat apabila undian PBS di dalam Pilihanraya Sabah 2020 adalah setaraf dengan parti-parti lain di dalam GRS iaitu beza hanya 2-7 undian (menggunakan logo dan bendera sendiri Parti Bersatu Sabah), sekaligus menjadi penyumbang kemenangan Gabungan Rakyat Sabah dalam pilihanraya tersebut. Memorandum Persefahaman (MoU) Gabungan Rakyat Sabah telah ditandatangani oleh Naib Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Radin Malleh, sebagai Wakil dari Parti Bersatu Sabah untuk menandatangani Memorandum Persefahaman GRS pada 9 Januari 2021, iaitu tiga (3) bulan selepas kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perjuangan
[sunting | sunting sumber]Walaupun ia dilihat sebagai parti politik Kadazan-Dusun yang berasaskan satu kumpulan etnik tempatan di Sabah, ahli-ahli Parti Bersatu Sabah menggelar parti tersebut sebagai "parti politik yang berbilang kaum di Malaysia" di mana anggotanya kebanyakan terdiri dari Kadazan-Dusun (dari kedua-dua bangsa Dusunik dan Paitanik dalam kumpulan etnolinguistik) dan keturunan etnik Murut (termasuk sub-kumpulan Lundayeh). Walaupun keahlian etnik kedua dan ketiga kebanyakannya adalah bumiputera beragama Islam, kebanyakan etnik tempatan tersebut adalah berasaskan etnik Melayu-Sabahan (Melayu Brunei dan Melayu Cocos), dan juga dari masyarakat Bajau-Samah yang merupakan etnik Bumiputera kedua terbesar di negeri ini termasuk sub-kumpulan Iranun dan etnik Suluk bersama-sama dengan masyarakat etnik Cina (bersama dengan kumpulan kecil atau "Sino-Native" dari minoriti Cina). Misi politik yang diisytiharkan oleh Parti Bersatu Sabah adalah untuk berusaha melindungi hak autonomi dan melindungi Tanah Air Sabah, mempromosikan prinsip Demokrasi, kemajuan ekonomi, sistem hak asasi manusia dan keadilan.
Parti Bersatu Sabah merupakan parti berbilang kaum walaupun ia dilihat sebagai parti kaum Kadazan-Dusun. Pada dasarnya PBS memperjuangkan demokrasi dan mempunyai wawasan untuk membina negeri Sabah yang maju, harmoni dan bersatu melalui proses demokrasi berparlimen yang tulen. Ia juga berusaha menjaga hak-hak dan kuasa autonomi Sabah, hak asasi manusia dan menegakkan keadilan. Parti itu turut memperjuangkan hak-hak istimewa kaum Bumiputera dan kepentingan kaum lain, memelihara budaya tradisional setiap kaum di Sabah serta kebebasan beragama di Malaysia.[6]
Antara isu yang paling lantang disuarakan oleh Parti Bersatu Sabah adalah isu Pendatang asing tanpa izin di Sabah, Projek IC, pembangunan yang tidak seimbang, 'pengundi hantu' dan penuntutan Perjanjian 20 Perkara Sabah iaitu satu perjanjian sebelum kemasukan Sabah di dalam Negara Malaysia.
Ideologi dan asas sokongan PBS dan Parti STAR adalah agak sama menjadikan mereka mudah untuk menyokong satu sama lain sebagai satu perikatan parti tempatan Sabah. Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, presiden Parti STAR ialah adik kepada Bekas presiden PBS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan.
Simbol, bendera & lagu
[sunting | sunting sumber]Simbol
[sunting | sunting sumber]Simbol dan lambang PBS menunjukkan dua tangan berjabat di atas peta negeri Sabah berwarna hijau dan dibentuk dengan garisan berwarna coklat di dalam segi empat dan perkataan 'PARTI BERSATU SABAH' di bawahnya. Lambang 'berjabat tangan' melambangkan perpaduan, persahabatan dan kerjasama antara rakyat Sabah; warna 'hijau' melambangkan kekayaan negeri Sabah terutamanya dari segi pertanian; warna 'coklat' melambangkan kesuburan tanahnya dan bentuk 'segi empat' melambangkan keadilan dan kesaksamaan di antara setiap rakyat Sabah.
Bendera
[sunting | sunting sumber]
|
Lagu PBS
[sunting | sunting sumber]Bersatu Dalam PBS Tanah Sabah, negeriku yang tercinta Tanah ku, negeri ku Marilah putra putri Sabah Marilah, semua |
Barisan kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS)
[sunting | sunting sumber]Organisasi kepimpinan
[sunting | sunting sumber]Carta organisasi PBS menunjukkan perwakilan tiga komposisi kaum yang terbesar di Sabah iaitu Kadazan-Dusun-Murut-Rungus bukan Muslim, Cina (termasuk peranakan Sino-Bumiputera) dan Bumiputera Islam (Melayu Brunei/Melayu Jawa/Orang Sungai/Melayu Banjar/Bajau-Iranun/Melayu Kedayan/Suluk/Bajau Laut-Palau'h/Kadazan-Dusun-Murut-Rungus Muslim/Melayu Bugis/Bajau-Samah/Melayu Cocos).
|
Wakil-wakil rakyat
[sunting | sunting sumber]
|
Perkembangan Parti Bersatu Sabah (PBS)
[sunting | sunting sumber]- PADA TAHUN 2008
Parti itu telah dikritik kerana didakwa tidak lagi lantang menyuarakan masalah-masalah rakyat Sabah setelah menyertai Barisan Nasional. Seorang Ahli Majlis Tertinggi parti, Dr. Chong Eng Leong yang juga merupakan aktivis anti-pendatang haram telah meninggalkan parti tersebut kerana mendakwa parti tersebut tidak lagi mampu memperjuangkan matlamat asalnya.[7]
Parti itu juga terlibat dengan pertikaman lidah bersama Parti Maju Sabah (SAPP) di mana mereka telah menyarankan agar SAPP keluar dari BN kerana menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.[8] Mereka turut menyatakan kesediaan untuk menerima Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan menyertai PBS sekiranya beliau meninggalkan SAPP.[9] Ini menyebabkan pemimpin SAPP menuduh PBS cuba memecah-belahkan parti tersebut.
Pada 30 Julai, Ketua Bahagian PBS Kiulu, Sindin Ranggangon telah menggesa agar Pairin meletak jawatan sebagai presiden PBS dan digantikan dengan pemimpin yang lebih muda, berkaliber dan memiliki karisma seperti Timbalan Presiden, Datuk Dr. Maximus Ongkili.[10] Sindin turut mendakwa Pairin tidak lagi mampu memimpin PBS dengan berkesan dan ini terbukti apabila calon-calon PBS mendapat undi yang lebih rendah dan termasuklah kekalahan dua calonnya dalam pilihanraya umum yang baru berlalu. Kenyataan Sindin ini diselar ramai pemimpin atasan PBS termasuklah Dr. Maximus sendiri.[11]
- PADA TAHUN 2017 - 2018
Pada Tahun 2017, Datuk Joseph Pairin Kitingan mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan akan menyerahkan jawatan Presiden tersebut kepada Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili atas permintaan penyokong-penyokong Parti Bersatu Sabah dan juga permintaan penduduk di kawasan kubu kuat parti tersebut.
Pada tahun 2018, Datuk Joseph Pairin Kitingan telah dikalahkan di tempat sendiri (Parlimen Tambunan) oleh adik beliau iaitu Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). Kekalahan tersebut telah memberi impak yang kuat terhadap Gabungan Barisan Nasional di Sabah dan memberi kesan yang mendalam terhadap Parti Bersatu Sabah (PBS). Penyerahan jawatan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili akhirnya telah disahkan pada Tahun 2018 selepas kejatuhan dan kekalahan Gabungan Barisan Nasional di Sabah. Sejurus kekalahan Gabungan tersebut, PBS mengumumkan untuk keluar dari Barisan Nasional dan bergerak dengan logo sendiri dan menjadi Parti Tempatan tunggal sama seperti Parti pimpinan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata beliau sedar akan kemahuan rakyat yang sudah tidak menginginkan Parti dari luar Sabah seperti Barisan Nasional-UMNO, DAP, PKR dan parti-parti luar yang lainnya. Dengan itu, secara rasminya pimpinan PBS bersetuju bergerak dengan Logo sendiri dan Matlamat tersendiri untuk menjaga keutamaan rakyat di Sabah.
- PADA TAHUN 2019 - 2021
Berikutan kejatuhan Gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya Malaysia 2018, Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan untuk meninggalkan gabungan itu dan membentuk gabungan baru parti-parti di Sabah yang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah (United Alliance Of Sabah). Gabungan Bersatu Sabah (GBS) Disertai oleh Parti Pimpinan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan iaitu Parti STAR Sabah, Parti Pimpinan Datuk Yong Teck Lee iaitu Parti SAPP, Barisan Pimpinan UMNO - Cawangan Sabah yang diketuai oleh Datuk Bung Moktar Radin, dan beberapa Ahli Bebas yang Diketuai oleh Datuk Hajiji Noor (Telah menjadi Presiden Parti Pribumi BERSATU Cawangan Sabah pada Tahun 2019 dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah pada Januari 2021).
Gabungan Bersatu Sabah kemudian diikuti oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 12 September 2020 yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor bagi menghadapi Pilihan raya negeri Sabah 2020. Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bersetuju untuk bergabung di dalam Gabungan Rakyat Sabah menjadikan PBS salah satu Komponen utama GRS. Presiden PBS, Datuk Maximus Ongkili berkata, "Perikatan GRS ini akan menjadikan politik Sabah berada dalam kedudukan yang baik dan stabil". GRS telah menjadi 'nafas-baru' bagi Parti Bersatu Sabah. Hal ini kerana, PBS menjadi salah satu tumpuan utama di dalam GRS bersama dengan Parti-parti lain di dalam Gabungan tersebut. Kebangkitan semula PBS tercatat apabila undian PBS di dalam Pilihanraya Sabah 2020 adalah setaraf dengan parti-parti lain di dalam GRS iaitu beza hanya 2-7 undian, sekaligus menjadi penyumbang kemenangan Gabungan Rakyat Sabah dalam pilihanraya tersebut. Memorandum Persefahaman (MoU) Gabungan Rakyat Sabah telah ditandatangani oleh Naib Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Radin Malleh, sebagai Wakil dari Parti Bersatu Sabah untuk menandatangani Memorandum Persefahaman GRS pada 9 Januari 2021, iaitu tiga (3) bulan selepas kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Senarai parti politik Malaysia
- Politik Malaysia
- Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
- Gabungan Parti Sarawak (GPS)
- Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
- Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah)
- Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat)
- Parti Maju Sabah (SAPP)
- Parti Rakyat Sarawak (PRS)
- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)
- Parti Bangsa Malaysia (PBM)
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ ""Bersatu! Bersatu! Bersatu!" sudah menjadi satu tanda slogan rasmi dan "trademark" PBS sejak tahun 1985". Parti Bersatu Sabah.
- ^ "PBS guna Slogan "Sabah untuk Rakyat Sabah" (2019)". Free Malaysia Today (FMT).
- ^ "Bendera rasmi Parti Bersatu Sabah (PBS) akhirnya dikibarkan". Sabah News.
- ^ "nama penuh bagi singkatan PBS ialah "Parti Bersatu Sabah" (telah direkod di dalam Dewan Bahasa dan Pustaka)". Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ "Historical Background". pbs-sabah.org. 25 Mei 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-04-15. Dicapai pada 2008-07-22.
- ^ "Vision and Objectives". pbs-sabah.org. 25 Mei 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-12. Dicapai pada 2008-07-22.
- ^ "Chong quits PBS over the illegals issue". Daily Express. 18 Jun 2008. Dicapai pada 2008-07-22.[pautan mati kekal]
- ^ "Better for SAPP to quit BN: Maximus". Daily Express. 13 Julai 2008. Dicapai pada 2008-07-22.[pautan mati kekal]
- ^ "PBS willing to take Tan". Daily Express. 13 Julai 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-04. Dicapai pada 2008-07-22.
- ^ "PBS division wants Pairin to step down". Daily Express. 31 Julai 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-24. Dicapai pada 2008-08-11.
- ^ "Division chief faces action over call". Daily Express. 5 Ogos 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-24. Dicapai pada 2008-08-11.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- (Inggeris) Laman rasmi Diarkibkan 2005-06-03 di Wayback Machine