Pergi ke kandungan

Ketumbar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ketumbar
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Coriandrum
Spesies:
C. sativum
Nama binomial
Coriandrum sativum
Daun ketumbar mentah
Nilai pemakanan per 100 g (3.5 oz)
Tenaga 95 kJ (23 kcal)
Karbohidrat 4 g
- Serabut diet 3 g
Lemak 0.5 g
Protein 2 g
Vitamin A setara 337 μg (42%)
Vitamin C 27 mg (33%)
Peratusan dianggarkan
menggunakan syor A.S. untuk orang dewasa.

Ketumbar (Jawi: كتومبر, nama saintifik: Coriandrum sativum) ialah sejenis tumbuhan herba semusim yang tergolong dalam famili Apiaceae. Ketumbar berasal dari Eropah Selatan, Afrika Utara dan Asia Barat Daya. Ketumbar adalah tumbuhan lembut dan tidak berbulu yang boleh bertumbuh hingga ketinggian 50 cm [20 inci]. Daun-daunnya berbagai-bagai bentuknya, yaitu bercuping luas pada tapak tumbuhan, dan lembut lampai pada aras batang berbunga yang lebih tinggi. Bunga-bunganya dibawa dalam umbel kecil berwarna putih atau merah jambu pudar, tak bersimetri, kelopak-kelopaknya yang menjauhi pusat umbel lebih panjang (5-6 mm) berbanding kelopak-kelopak yang tumbuh ke arah umbel (1-3 mm). Buahnya merupakan skizokarpa kering berbentuk bulat yang berdiameter 3-5 mm.

Semua bahagian tumbuhan ketumbar boleh dimakan, terutamanya daun segar dan benih keringnya yang sering dijadikan bahan masakan. Ketumbar menjadi ramuan biasa dalam masakan Timur Tengah, Asia Tengah, Mediterranean, Asia Selatan, Mexico, Texas, Amerika Latin, Cina, Afrika dan Asia Tenggara. Ketumbar juga digunakan untuk membuat minuman keras witbier dari Belgium.[1]

Daun ketumbar lain rasanya dari benihnya, yaitu lebih banyak rasa sitrus. Ada orang yang menjauhi daun ketumbar kerana rasa "bersabun" atau bau hamis. Kepercayaan bahawa perasaan ini ditentukan secara genetik mungkin timbul dari kelainan genetik pencerapan rasa kimia sintetik phenylthiocarbamide; namun, tiadanya hubungan terperinci antara ketumbar dan gen pencerapan rasa pahit yang dapat disahkan.[2]

Daun ketumbar segar dijadikan ramuan untuk pembuatan pelbagai masakan Asia Selatan (khususnya catni), hidangan Cina dan juga salsa dan guacamole yang khusus dari Mexico. Daun ketumbar mentah yang dicincang dijadikan hiasan masakan seperti dal dan kari sejurus sebelum disajikan kerana jika dimasak, haba akan cepat mengurangkan rasa ketumbar. Dalam resipi India dan Asia Tengah, daun ketumbar digunakan dalam bilangan besar dan dimasak hingga hilang rasanya.[3]) Daun ketumbar cepat rusak apabila dipetik dari tumbuhan, dan hilang baunya apabila dikeringkan atau dibekukan.

Buah ketumbar kering.
Biji ketumbar.

Buah ketumbar kering dipanggil biji ketumbar. Biji ketumbar apabila dihancurkan rasanya seperti limau karena hadirnya terpena linalool dan pinena. Biji ketumbar bersifat hangat, kekacangan, berempah, dan macam oren.

Biji ketumbar biasanya didapati dalam bentuk penuh dan kisar. Biji ketumbar penuh boleh dipanggang atau dipanaskan dalam kuali kering untuk seketika, kemudian dikisar untuk menguatkan dan mengubah baunya. Biji ketumbar kisar cepat hilang rasanya apabila disimpan, oleh itu lagi segar lagi bagus.

Biji ketumbar dijadikan rempah (Hindi: धनिया dhania) dalam membuat garam masala dan kari India yang selalu banyak menggunakan biji kisar bersama jintan putih. Biji ketumbar ini berperanan sebagai bahan pemekat. Biji ketumbar panggang atau dhana dal juga dijadikan makanan ringan, di samping dijadikan ramuan utama dua masakan India Selatan iaitu sambhar (Tamil: சாம்பார்) dan rasam (இரசம்). Biji ketumbar direnih dengan air dan diminum sebagai ubat bersin tradisional.

Di luar Asia, biji ketumbar digunakan untuk menjeruk sayur, dan membuat sosej di Jerman dan Afrika Selatan (lihat boerewors). Di Rusia dan Eropah Tengah, biji ketumbar adalah ramuan yang sekali-sekala digunakan dalam roti rai sebagai pengganti jintan.

Biji ketumbar digunakan untuk menyediakan beberapa jenis bir yang tertentu, khususnya bir gandum di Jerman. Biji ketumbar ini digunakan bersama kulit oren untuk menambahkan rasa sitrus.

Akar ketumbar.

Akar ketumbar lebih kuat rasanya berbanding daunnya.[4] Akar ketumbar digunakan untuk memasak berbagai hidangan Asia, terutamanya masakan kuah dan pes kari Thai.

  1. ^ http://www.samueladams.com/world_of_beer.aspx
  2. ^ Wooding S (2006). "Phenylthiocarbamide: A 75-Year Adventure in Genetics and Natural Selection". Genetics. 172 (4): 2015–2023.[1]
  3. ^ http://www.uni-graz.at/~katzer/engl/Cori_sat.html#disc Diarkibkan 2010-11-30 di Wayback Machine uni-graz.at
  4. ^ http://everything2.com/e2node/coriander