Pergi ke kandungan

Sejarah Argentina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sejarah Awal

[sunting | sunting sumber]
Kubu Pucara de Tilcara, sebahagian daripada Empayar Inca di Provinsi Jujuy

Di samping beberapa kaum orang asli nomad yang lain, dua kumpulan orang asli utama di Argentina sebelum kedatangan orang Eropah ialah kaum Diaguita yang tinggal berhampiran dengan Bolivia dan pergunungan Andes dan Guarani dari selatan dan timur Argentina. Kedua-dua kaum ini telah mencetuskan tamaddun berunsurkan pertanian terutamanya kultivasi jagung. Kaum Diaguita juga diingati kerana berjaya menghalang merebaknya empayar Inca dari Bolivia ke Argentina.

Ketibaan pihak Eropah

[sunting | sunting sumber]

Orang Eropah mula tiba di negara ini selepas pelayaran Amerigo Vespucci ke sini pada 1502. Pada 1516 , pelayar Sepanyol Juan Diaz de Solias melawat Argentina pada 1516. Setelah beberapa dekad, Sepanyol menubuhkan sebuah koloni tetap di Buenos Aires pada 1580. Pada mulanya, Sepanyol mentadbir Argentina melalui pusat pemerintahannya di Peru. Kemudian, pihak Sepanyol menyerap Argentina ke dalam empayarnya dengan menubuhkan Vice Royalty of Rio de la Plata pada 1776, dan Buenos Aires dijadikan pelabuhan yang sibuk.

Selepas 20 tahun menikmati perkembangan ekonomi dan stabiliti, wilayah La Plata telah menarik minat pihak British, yang ketika itu berperang dengan Perancis dan Sepanyol. Oleh itu pada 1806 angkatan kapal British menyerang Buenos Aires. Akibat serangan ini, Wizurai Sepanyol Buenos Aires terpaksa meninggalkan bandar ini dan ia telah ditawan oleh tentera British. Tetapi dalam masa yang singkat, militia awam telah mengusir tentera tersebut keluar dari Buenos Aires. Setahun kemudian, mereka cuba menawan semula bandar raya tersebut tetapi gagal. Namun demikian pada 1882, angkatan kapal British berjaya menawan sebuah kepulauan terpencil yang dipanggil Islas Malvinas milik Argentina. Kepulauan ini kemudiannya dinamakan Kepulauan Falkland yang telah dijajah oleh British sehinggalah kehari ini.

Pemberontakan Mei 1810 dan kemerdekaan Argentina

[sunting | sunting sumber]

Kekalahan tentera British di tangan rakyat Buenos Aires telah membangkitkan semangat patriotik rakyatnya. Sentimen revolusi mula berkembang luas apabila Napoleon menggulingkan serta memenjarakan raja Sepanyol, Raja Ferdinand VIII dan menggantikannya dengan adiknya, Joseph Bonaparte pada 1808. Masyarakat Buenos Aires enggan mengiktiraf Joseph Bonarparte sebagai raja Sepanyol, lalu mereka menggulingkan kerajaan Sepanyol di sana. Pada Mei 1810, sebuah cabildo terbuka bandar ini telah menubuhkan kerajaan autonomi yang baru untuk mentadbir La Plata di bawah Raja Ferdinand VIII, sementara raja itu di dalam buangan. Kerajaan sementara ini kemudiannya melancarkan kempen tentera untuk mendapat sokongan bandar-bandar pendalaman. Pada 1814, Raja Ferdinand telah kembali berkuasa tetapi beliau ternyata seorang raja yang tidak berkaliber. Oleh itu pada 9 Julai 1816, satu kumpulan perwakilan dari kebanyakan negeri di Argentina telah berhimpun dan berjumpa di Tucuman dan mengisytiharkan kemerdekaan dari jajahan Sepanyol. Kerajaan merdeka yang pertama di Argentina itu diberi nama Provinsi-Provinsi Bersatu Rio de la Plata. Namun demikian, revolusi menentang Sepanyol tetap berterusan dan hanya berakhir pada 1824. Jeneral Jose de San Martin, yang berkempen di Argentina, Chile, dan Peru telah diangkat sebagai wira negara Argentina dan dianggap sebagai bapa kemerdekaan.

Era sebelum perlembagaan Argentina 1853

[sunting | sunting sumber]

Selepas kemerdekaan Argentina, rakyatnya sebulat suara bersetuju menjadikan negara ini sebuah negara republik. Namun persengketaan berlaku kerana satu puak mahukan negara ini berkerajaan pusat (centralist/ unitarian) manakala sebahagian lagi mahukan kerajaan persekutuan (federalist). Puak yang pro kerajaan pusat telah mencapai kejayaan apabila pada 1826 ahlinya, Bernardino Rivadavia dipilih sebagai Presiden Argentina. Rivadavia telah cuba untuk membawa banyak pembaharuan. Antara lain, beliau mahu menggantikan budaya tradisi Sepanyol-Katolik dengan budaya Perancis yang dinamik, saintifik, moden dan sekular. Namun demikian, rakyat Argentina agak konservatif dan menolak budaya asing. Selain itu, kerajaannya dibelenggu dengan perang dengan negara Brazil yang tidak berkesudahan. Akhirnya pengaruh puak ini tidak berpanjangan dan Rivadavia terpaksa melepaskan jawatannya setahun kemudian. 25 tahun selepas itu, kerajaan Argentina telah dipegang oleh puak pro persekutuan di bawah regim Rosas. Rosas mendapat sokongan kaum gaucho dan juga rakyat lain yang rindukan keamanan. Dengan slogan “Stabiliti dan Disiplin” beliau berjaya menambat hati rakyat Argentina, yang lama menderita akibat ketidakstabilan dan keganasan. Pada mulanya dia dipilih sebagai gabenor di Buenos Aires pada 1829. Dari waktu itu sehinggalah tahun 1835, beliau membuat perancangan politik untuk mentadbir Argentina. Satu persatu, musuhnya ditewaskan atau dibunuh sampai beliau tiada lagi saingan politik. Akhirnya beliau menjadi presiden serta ‘tuan’ rakyat Argentina yang bertahan lama iaitu lebihkurang 25 tahun. Berlainan dengan Rivadavia, Rosas lebih berminat untuk mengekalkan ‘status quo’ negara. Beliau juga membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan rakyatnya. Ini telah mencetuskan kemarahan ahli intelektual elit disana. Antara pengkritiknya yang lantang termasuklah Juan Bautista Alberdi, Bartolome Mitre dan Domingo Faustino Sarmiento dan mereka kemudiannya mengstrukturkan semula ekonomi Argentina kearah pembangunan. Walaupun beliau berjaya melindungi negara dari unsur-unsur asing, tindakannya itu menakutkan para pelabur asing. Akibatnya pembangunan ekonomi terbantut dan Argentina menjadi mundur. Di samping itu, Rosas telah melakukan kesilapan-kesilapan yang lain. Sebagai bekas gabenor Buenos Aires, beliau telah mengamalkan sikap pilih kasih dengan memberi perhatian berlebihan terhadap wilayah ini dan mengabaikan wilayah-wilayah lain. Selain itu, beliau telah bercampurtangan dalam politik Uruguay dengan mengadakan pengepungan ke atas Montevideo, suatu tempat lindungan bagi mereka yang menentang beliau. Pada 1852, Rosas akhirnya digulingkan oleh tentera Urquiza dan tentera dari Brazil dan Uruguay.

Sejarah Awal Persekutuan Argentina

[sunting | sunting sumber]

Selepas kejatuhan regim Rosas, Urquiza berusaha untuk menyatukan Argentina. Perlembagaan pertama telah digubal tetapi wakil dari Buenos Aires tidak turut serta dan bersikap berkecuali. Perlembagaan ini ;lebih mirip kepada perlembagaan Amerika Syarikat kecuali dua elemen iaitu kuasa Presiden dan agama. Seorang Presiden tidak dibenarkan bertanding secara berturut-turut dan hanya boleh berkuasa selama enam tahun. Namun, berbanding Presiden Amerika Syarikat, presidennya mempunyai lebih kuasa eksekutif. Manakala dari segi agama, kerajaan Argentina mesti menyokong institusi gereja Roman Katolik walaupun hak kebebasan beragama adalah diperuntukkan di dalam perlembagaannya. Buenos Aires enggan menyertai persekutuan Argentina yang baru ini dan Urquiza telah menjadikan Parana sebagai ibunegara pertama Argentina. Akhirnya beliau menghantar bala tenteranya ke wilayah tersebut. Akhirnya Buenos Aires menyertai persekutuan ini apabila tewas di tangan tentera persekutuan dan selepas perlembagaan dipinda.

Perkembangan ekonomi Negara

[sunting | sunting sumber]

Selepas penyertaan Buenos Aires, Argentina menyaksikan perkembangan ekonomi yang pesat. Para intelektual seperti Bartolome Mitre telah menjadi presiden Argentina antara 1862 dan 1868 dan membawa masuk program pembangunan ekonomi dan budaya yang maju dan progresif. Ia diperkukuhkan pula oleh Sarmiento (1868-1874) dan Nicolas Avellaneda (1874-1880) Sarmiento terkenal di Argentina sehingga ke hari ini sebagai "Presiden Gurubesar" kerana sumbangannya yang besar terhadap perkembangan pendidikan di Argentina. Pada akhir abad ke 19, Argentina merupakan negara pertanian paling maju terutamanya dalam bidang penternakan dan pembiakan lembu dan kambing biri-biri, teknologi pertanian dan penanaman alfalfa. Sewaktu era ini, pihak British telah melaburkan wang yang banyak dan membangunkan infrastruktur negara seperti rangkaian keretapi dan pembinaan pelabuhan. Dari 1880 sampai 1930, Argentina tergolong dalam 10 negara terkaya di dunia berdasarkan perkembangan sektor pertaniannya serta pelaburan asing dalam infrastruktur negara. Parti Radikal yang mengambilalih kerajaan pada awal abad ke20 telah menekankan pilihan raya bebas serta institusi demokratik dan ini telah membuka pintu kepada perkembangan kelas pertengahan serta golongan yang sebelum ini telah dikecualikan dari kuasa politik. Zaman kemelesetan ekonomi sedunia atau “Great Depression” pada 1930an, turut menjejas ekonomi negara Argentina. Pihak militari Argentina telah menggunakan kesempatan ini untuk menjatuhkan kerajaan parti Radikal di bawah pimpinan Presiden Hipolito Yrigoyen. Ramai para tentera bimbang dengan pemerintahan kerajaan awam yang tidak berkesan dan tidak mampu membendung keruntuhan ekonomi negara. Di samping itu, mereka berpendapat sektor pertahanan telah di ketepikan dan jiran mereka Brazil telah mendahalui Argentina dari segi militari.

Bermulanya era Peronisme

[sunting | sunting sumber]
Presiden Argentina, Juan Peron

Kegelisahan ini berakhir, apabila pihak militari menggulingkan kerajaan berpelembagaan pada 1943. Kolonel Juan Perón (kemudiannya Jeneral), merupakan ketua rampasan kuasa ketika itu dan beliau diberikan jawatan yang penting iaitu Menteri Buruh. Sewaktu menjadi Menteri Buruh, beliau menggunakan kebijaksanaan politiknya untuk memancing sokongan kesatuan buruh yang merupakan organisasi paling berpengaruh di Argentina. Pada pilihan raya 1946 beliau serta pengikutnya telah mendapat kemenangan besar serta mengisi hampir kesemua kerusi di dewan rakyat dan juga dewan senat. 1946. Peron merupakan seorang yang proaktif serta berpandangan jauh. Sewaktu beliau di tampuk pemerintahan, pelbagai organisasi telah ditubuhkan. Antaranya ialah penubuhan parti politik Partido Justicialist, sebuah parti politik yang dinamik, demokratik dan progresif. Pengaruh parti ini kekal sehinggalah kehari ini. Selain itu, beliau merupakan orang utama dalam penubuhan General Confederation of Labor (CGT) atau Konfederasi Buruh Am suatu gabungan persatuan-persatuan buruh kebangsaan yang paling besar serta berpengaruh di Argentina. Di samping memberi kuasa yang lebih kepada pihak buruh, beliau juga berusaha menasionalisasikan industri-industri negara yang sebelum ini dimiliki oleh syarikat asing dari Eropah. Isterinya yang dinamik, Eva Duarte de Peron, yang juga dikenali sebagai Evita (1919-52), memainkan peranan utama dalam menasihati beliau serta mendapat sokongan untuk suaminya iaitu daripada golongan buruh serta wanita. Pada 1951, wanita buat pertama kalinya diberi hak mengundi dan dalam pilihan raya 1952, dua pertiga undi wanita adalah untuk Peron. Malangnya, pada 1952 Evita meninggal dunia akibat kanser. Peron telah hilang tempat bergantung dan membuat beberapa kesilapan politik yang menjejaskan ekonomi negara dan juga reputasinya. Akhirnya, beliau dibuang negeri pada 1955.

Kerajaan militari yang mengambilalih kuasa tidak mampu menangani masalah getir yang dihadapi oleh negara seperti keganasan dan kemelesetan ekonomi dan pengaruh Peronisme masih subur di negara ini. Pada Oktober 1973, Peron yang kini berusia lebih 80 tahun telah kembali dari Madrid, Sepanyol bersama isteri ketiganya, Maria Estela Isabel Martínez de Peron, yang dilantik sebagai naib-Presiden sewaktu pemerintahannya, aktiviti keganasan semakin berleluasa dan kerajaan terpaksa melaksanakan langkah drastik yang bersifat autoritarian. Misalnya menggunakan kuasa untuk memenjarakan seseorang buat jangkamasa yang tidak tetap tanpa melalui proses undang-undang .

Argentina di bawah kerajaan tentera

[sunting | sunting sumber]

Peron meninggal dunia pada 1 Julai, 1974 dan jawatannya telah diambilalih oleh Isabel Martínez. Namun pada 24 Mac 1976 suatu rampasan kuasa tentera telah menggulingkan kerajaan Peron. Kerajaan militari junta telah mengenakan tindakan yang tegas terhadap para pengganas dan mereka yang bersimpati dengannya melalui operasi yang dipanggil "El Proceso," atau "Proses Penyusunan Semula Nasional". Sebaik sahaja kudeta itu dilancarkan bermulalah detik hitam dalam sejarah Argentina iaitu Perang Kotor. Walaupun ia berjaya mengembalikan keamanan tetapi ramai rakyatnya telah menjadi mangsa. Dianggarkan antara 10,000 hingga 30,000 orang telah "lesap" di antara tahun 1976-83. Masalah ekonomi yang semakin meruncing, tuduhan rasuah yang kian meningkat, kebencian rakyat terhadap pelanggaran hak asasi manusia serta kekalahan negara ditangan tentera British sewaktu perang Falkland telah menjatuhkan imej kerajaan militari di Argentina. Akhirnya junta ini terpaksa menarik balik pengharaman terhadap parti politik dan mengembalikan kebebasan berpolitik.

Zaman kejatuhan ekonomi

[sunting | sunting sumber]

Pada 30 Oktober, 1983, warga Argentina yang bosan dengan kerajaan militari telah memilih Raul Alfonsin, dari parti Radical Civic Union (UCR), sebagai Presiden. Kerjaan demokratik yang baru ini telah cuba untuk mengatasi masalah-masalah negara seperti mengambil tindakan terhadap kerajaan militari yang lepas atas kesalahan hak asasi manusia, mengawal angkatan tentera dan meneguhkan semula institusi demokratik. Namun kerajaan Alfonsin gagal mengatasi masalah ekonomi yang sangat teruk dan dalam masa enam tahun beliau digantikan oleh calon parti Peron iaitu Carlos Saul Menem.

Walaupun beliau berkempen sebagai calon populis tradisional, sebagai Presiden, Menem melancarkan perubahan besar-besaran terhadap dasar negara. Reformasi tersebut telah membabitkan campurtangan kerajaan dalam ekonomi negara dan beliau tidak teragak-agak menggunakan kuasa Presidennya yang luas apabila Kongres tidak mendapat persetujuan atas cadangan reformasinya.

Perjanjian yang dipanggil Perjanjian Olivos atau Olivos Pact di antara kerajaan dengan parti pembangkang Radical Party telah berakhir dengan reformasi perlembagaan 1994 yang membuka jalan kepada Menem untuk memenangi pilihan raya semula, di mana beliau berjaya memperoleh 50% undi dalam pilihan raya tiga penjuru pada tahun 1995. Pada akhir penggal kedua kerajaannya, mula timbul pula kebimbangan di kalangan pelabur asing mengenai keupayaan Argentina membayar balik hutang sektor awamnya yang besar, terutamanya selepas kegagalan Rusia melangsaikan hutangnya pada tahun 1998 dan langkah Brazil menilai semula matawangnya. Kebimbangan semakin bertambah apabila defisit fiskal Argentina melonjak semasa tahun 1999, iaitu tahun akhir Menem sebagai Presiden.

Fernando de la Rua, dari Parti Radical, yang bertanding atas sebab anti-rasuah, telah menewaskan calon Peronis iaitu Eduardo Duhalde pada pilihan raya 1999. Sebaik sahaja menjadi Presiden, beliau menaikkan cukai untuk menamatkan defisit fiskal yang besar yang 'diwarisi' kerajaannya, tetapi kenaikan cukai ini telah membantutkan pertumbuhan ekonomi dan mempercepatkan kegawatan ekonomi serta mengakibatkan kejatuhan hasil pulangan kerajaan. Pertelingkahan politik dalaman telah menyukarkan pelaksanaan langkah-langkah reformasi kerajaan, dan ekonomi negara terus terbantut. Keadaan politik semakin meruncing apabila Naib Presiden Chacho Alvarez (dari rakan pemuda dalam barisan kerajaan) telah meletak jawatan, kerana kurang mendapat sokongan ahli eksekutif yang lain untuk menyiasat tuduhan korupsi dalam pentadbiran kerajaan.

Argentina di dalam abad ke-21

[sunting | sunting sumber]

Walaupun Argentina menerima pakej bantuan kewangan IMF yang besar pada Disember 2000, kerajaan De La Rua masih tidak mampu membendung krisis kewangan di sana. Sepanjang tahun 2001, produktiviti jatuh pada tahap terendah, dan kadar pengangguran semakin meningkat. Pada akhir 2001, pendeposit dalam bank-bank Argentina telah mengeluarkan dana mereka apabila nilai peso susut dengan berterusan. Campurtangan kerajaan menghalang mereka dari akaun mereka sendiri hanya mengeruhkan suasana. Pembuangan kerja di Supermarket dan kerosakan hartabenda yang berleluasa, telah bermula di kawasan pendalaman dan merebak ke Federal Capital. De la Rua meletak jawatan pada 20 Disember, 2001, selepas keganasan meletus dan beberapa nyawa terkorban sewaktu rusuhan berlaku di sekitar plaza berhadapan dengan pusat kerajaan.

Pada 23 Disember 2001, perhimpunan legislatif telah memilih Adolfo Rodriguez Saa sebagai presiden dan megisytiharkan pilihan raya umum dalam masa 3 bulan. Rodriguez Saa kemudiannya mengumumkan Argentina akan mengingkari pembayaran hutang antarabangsanya, tetapi menyatakan komitmen untuk mengekalkan lembaga kewangan currency board dan menambat peso 1-ke-1 dengan dolar Amerika. Malangnya, Rodriguez Saa, gagal meraih sokongan daripada partinya sendiri, dan ini ditambah pula dengan keganasan terbaru di Federal Capital, telah memaksanya untuk meletak jawatan pada 30 Disember 2001.

Perhimpunan Legislatif terpaksa memilih Eduardo Duhalde seorang Peronist sebagai presiden pada 1 Januari, 2002. Duhalde--cuba membawa kelainan berbanding tiga presiden sebelumnya — beliau menarik balik tambatan nilai matawang peso kepada dolar Amerika, suatu langkah yang disusuli dengan penyusutan matawang dan inflasi. Sewaktu menghadapi kemiskinan serta ketidakstabilan sosial yang kian meningkat, Duhalde telah berusaha untuk memperkukuhkan program-program sosial kerajaan. Pada pusingan pertama pilihan raya Presiden pada 27 April, 2003, bekas Presiden Carlos Menem (PJ) telah memenangi 24.3% undi, Gabenor Santa Cruz Nestor Kirchner (PJ) memenangi 22%, diikuti Ricardo Murphy dengan 16.4% dan Eilsa Carrio dengan 14.2%. Menem menarik diri dari bertanding pada 25 Mei apabila banci menunjukkan sokongan yang padu untuk Kirchner. Nestor Kirchner telah dilantik sebagai Presiden pada 25 Mei, 2003.