Pergi ke kandungan

Isabel Martínez de Perón

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Isabel Martínez)
Isabel Martínez de Perón
Presiden Argentina
Dalam jawatan
1 Julai 1974 – 24 Mac 1976
Didahului olehJuan Domingo Perón
Digantikan olehJorge Rafael Videla (de facto)
Naib Presiden Argentina
Dalam jawatan
12 Oktober 1973 – 1 Julai 1974
PresidenJuan Domingo Perón
Didahului olehVicente Solano Lima
Digantikan olehVíctor Hipólito Martínez (1983)
Wanita Pertama Argentina
Gelaran
12 Oktober 1973 – 1 Julai 1974
PresidenJuan Domingo Perón
Didahului olehNorma Beatriz López Rega
Digantikan olehAlicia Raquel Hartridge
Maklumat peribadi
Lahir4 Februari 1931
La Rioja
KewarganegaraanArgentina
Parti politikPartido Justicialista
PasanganJuan Domingo Perón (meninggal 1974)

Maria Estela Isabel Martínez de Perón (Sebutan Sepanyol: [isaˈβel maɾˈtines ðe peˈɾon]; lahir 4 Februari 1931) atau lebih dikenali sebagai Isabel Martínez de Perón merupakan isteri ketiga presiden Argentina, Juan Perón dan juga wanita pertama dalam sejarah Amerika Latin menjadi Presiden sebuah negara iaitu dari 1 Julai 1974 hingga 24 Mac 1976.

Pada 2007, seorang hakim Argentina telah memerintah penahanan Isabel Perón atas kehilangan seorang aktivis pada Februari 1976, kerana beliau telah menandatangani tiga perintah yang memudahkan tindakan menangani masalah terorisme negara pada masa pemerintahannya 1974-1976. Isabel telah ditahan di Sepanyol berhampiran kediamannya pada 12 Januari 2007.

Sejarah awal

[sunting | sunting sumber]

Isabel Perón dilahirkan María Estela Martinez Cartas pada 4 Februari, 1931, di La Rioja, suatu bandar terpencil di kawasan pergunungan barat daya Argentina. Bapanya, seorang pengurus bank, telah meninggal dunia semasa beliau masih kecil lagi. Selepas kematian bapanya, familinya telah berpindah ke Buenos Aires, di mana beliau telah mempelajari piano, tarian serta bahasa Perancis. Namun demikian beliau tidak sempat menamatkan pendidikan formalnya.

Selepas meninggalkan alam persekolahan Isabel telah menceburi bidang tarian, dan menari dalam kumpulan "folk music", kelab-kelab malam, dan akhir sekali dalam kumpulan balet bagi dua teater terkemuka di bandaraya Buenos Aires. Beliau diberi nama Isabel sewaktu diterima masuk ke dalam gereja Katolik dan kemudian menggunakan nama tersebut sebagai nama profesionalnya sewaktu memulakan karier sebagai penari.

Kerjaya politik

[sunting | sunting sumber]

Walaupun berasal daripada Argentina, beliau berjumpa dengan bakal suaminya iaitu mantan presiden Argentina Juan Perón di Panama, ketika Perón berada dalam buangan. Pada waktu itu, Isabel bekerja sebagai penari kelab malam di sana. Perón amat tertarik dengan kecantikan beliau dan percaya bahawa Isabel mampu mengisikan hidupnya yang kosong setelah kematian isterinya yang kedua, Evita. Oleh itu, dia telah melamar Isabel dan akhirnya Isabel bersetuju meninggalkan dunia hiburan dan menjadi setiausaha peribadi Perón.

Perón kemudiannya membawa Isabel bersamanya ke Madrid, Sepanyol pada 1960. Negara ini mengamalkan agama Katolik yang kuat dan melarang seorang daripada hidup dengan bukan muhrimnya. Lalu, atas desakan pihak agama, Perón terpaksa berkahwin dengan Isabel untuk kali yang ketiganya pada pada 15 November 1961.

Di Madrid, Perón telah kembali aktif dalam politik negaranya dan menggunakan Isabel sebagai orang perantara dari Sepanyol ke Amerika Selatan. Perón dilarang dari kembali ke tanahairnya, lalu isterinya diambil sebagai wakilnya di Argentina.

Pada waktu ini, Isabel telah berkenalan dengan José López Rega, seorang falsafah kultus dan ahli tenung nasib yang kemudiannya menjadi pengasas kumpulan yang paling digeruni di Argentina iaitu Pakatan Anti-Komunis Argentina (AAA). Oleh kerana beliau juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang falsafah serta tenung nasib, mereka telah menjadi sahabat yang karib. Apabila Perón dilantik sebagai Presiden, isterinya mendesak beliau untuk mengambil López pula sebagai setiausaha peribadinya.

Isabel sebagai Presiden

[sunting | sunting sumber]

Juan Perón telah meninggal dunia pada 1 Julai, 1974, tidak lebih setahun selepas menjadi presiden Argentina buat kali yang ketiga. Peron digantikan oleh isterinya, Isabel, sekali gus menjadikannya wanita bukan raja pertama menerajui sebuah kerajaan di hemisfera Barat.

Malang bagi Isabel, beliau tidak sepopular isteri kedua Peron iaitu Evita. Faktor utama yang menyebabkan beliau dibenci ialah orang kanannya, López Rega, yang ternyata lebih berpengaruh daripada beliau. Pengaruhnya begitu kuat sehinggakan dia boleh dianggap sebagai perdana menteri de fakto Argentina pada ketika itu. Walaupun fahamannya adalah berhaluan kanan, statusnya sebagai kuasa disebalik kerajaan amat membimbangkan golongan militari.

Atas desakan tentera, beliau bersetuju untuk menyingkirkan López. Namun, pihak tentera masih berpendapat seorang Presiden wanita yang "lemah semangat serta tiada berpengalaman" tidak akan mampu menangani masalah negara yang meruncing seperti mogok dan keganasan politik yang berleluasa, ditambah pula dengan kadar inflasi yang kian meningkat.

Pada 24 Mac 1976, beliau telah digulingkan dalam satu rampasan kuasa secara aman. Selepas ditahan di rumah selama lima tahun, beliau dibuang negeri ke Sepanyol pada 1981. Di sana beliau tinggal di Madrid dan mengekalkan talian yang rapat dengan keluarga Franco dan kadangkala pergi ke Marbella di pesisiran pantai.[1] Walaupun beliau pernah membuat lawatan singkat ke Argentina pada 1984, selepas demokrasi pulih kembali, namun Sepanyol masih menjadi tempat tinggalnya yang utama.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Jawatan politik
Didahului oleh
Vicente Solano Lima
Naib Presiden Argentina
1973–1974
Diikuti oleh:
Víctor Martínez
Didahului oleh
Juan Peron
Presiden Argentina
1974–1976
Diikuti oleh:
Jorge Videla