Pergi ke kandungan

Fatimah al-Zahra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Saidatina Fatimah az-Zahrah (RA) (disebut Fatimah az-Zahra) ialah puteri bongsu yang mulia Rasulullah SAW, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim.

Siti Fatimah al-Zahra dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadil Akhir iaitu tahun kelima sebelum Nabi SAW menjadi Rasul. Ketika itu kaum Quraisy sedang memperbaiki dan membangun kembali Kaabah disebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.

Siti Fatimah puteri kesayangan Nabi Muhammad mendapat gelaran al-Sidiqah (wanita terpercaya), al-Thahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diBerkati Allah) dan gelaran yang paling sering disebutkan, Fatimah al-Zahrah (bunga yang mekar semerbak).

Beliau juga digelari al-Batul, iaitu yang memusatkan perhatiannya pada ibadah atau tiada bandingnya dalam hal keutamaan, ilmu, akhlaq, adab, hasab dan nasab.

Fatimah lebih muda daripada Zainab, isteri Abil Ash bin Rabi' dan Ruqayyah, isteri Uthman bin Affan. Juga, beliau lebih muda daripada Ummu Kalsum.

Siti Fatimah al-Zahrah menyaksikan sendiri betapa halangan dan rintangan yang telah dihadapi ayahandanya dalam memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi sedang sujud, menyembah Allah SWT; dengan tangisan kesedihannya Siti Fatimah membersihkan tubuh Nabi daripada kotoran yang ditaburkan oleh kaum Quraisy.

Rasulullah pernah berkata, "Fatimah sebahagian daripada ku, dan barang siapa yang menimbulkan kemarahannya juga menimbulkan kemarahanku."[1]

Rasulullah pernah bercerita tentang kearifan yang dicapai oleh Fatimah kepada Salman Al-Farisi. Baginda bersabda, "Wahai Salman, ketahuilah bahawa Allah SWT telah memenuhi kalbu dan seluruh jiwa raga puteriku dengan keimanan."[perlu rujukan] Al-Hassan menuturkan: "Ibuku adalah dia yang memenuhi malamnya dengan doa dan munajat hanya kerana umat Muhammad." [perlu rujukan]

Sebagai pendamping hidup Imam Ali RA, Fatimah juga tampil sebagai isteri yang ideal dan suri rumah yang penuh bertanggungjawab.

Demikian besar peribadi Fatimah sehingga insan sehebat Saidina Ali berasa tenang dan damai di sisinya. "Demi Tuhan, hingga akhir hayatnya, tidak pernah aku merasa kecil hati dengan perilakunya atau memaksanya. Begitu juga tidak pernah dia merasa marah terhadapku atau tidak mentaatiku. Saat aku melihat Fatimah," kata Saidina Ali, "hilanglah duka dari seluruh jiwaku."

  1. ^ Himpunan Hadis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sahih Bukhari Jilid 5, Buku 57, Nombor 61