Bangunan Sultan Abdul Samad
Koordinat: 3°08′55″N 101°41′40″E / 3.14861°N 101.69444°E
Bangunan Sultan Abdul Samad باڠونن سلطان عبدالصمد | |
---|---|
Nama lama | Pejabat Baru Kerajaan, Sekretariat Persekutuan |
Etimologi | Sultan Abdul Samad |
Maklumat umum | |
Jenis | Struktur seni bina |
Gaya seni bina | Moghul & Moor |
Lokasi | Jalan Raja, Kuala Lumpur, Malaysia |
Negara | Malaysia |
Koordinat | 3°8′55″N 101°41′40″E |
Penyewa terkini | Kementerian Komunikasi |
Pembinaan bermula | 1897 |
Disiapkan pada | April 1897 |
Maklumat ketinggian | |
Tinggi | 40m |
Reka bentuk dan seni bina | |
Arkitek | Arthur Charles Alfred Norman |
sunting · sunting di Wikidata |
Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894.
Di hadapan bangunan indah ini beberapa peristiwa sejarah berlaku. Di sinilah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan. Peristiwa ini menunjukkan berlalulah satu era dijajah kepada era masyarakat yang merdeka.
Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada 2007 oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di bawah Akta 645.
Nama asal
[sunting | sunting sumber]Pada peringkat awal, nama bangunan ini hanya dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan (New Government Offices). Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada 1948, bangunan ini dinamakan Sekretariat Persekutuan (Federal Secretariat).
Tahun 1974, semua pejabat Kerajaan Negeri Selangor dipindahkan ke Shah Alam. Pejabat kerajaan persekutuan Malaysia dipindahkan ke Jalan Duta, Damansara. Oleh itu nama bangunan ini ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad sempena nama Sultan Selangor yang memerintah dari 1857 - 1898. Nama ini kekal hingga sekarang.
Lokasi
[sunting | sunting sumber]Bangunan Sultan Abdul Samad ini terletak di hadapan Dataran Merdeka dan Kelab Diraja Selangor. Ia terletak di Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Malaysia. Jalan Raja dahulunya Gombak Road.
Di dalam peta, bangunan ini terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak. Pelbagai bangunan dibina di pertemuan dua sungai ini seperti Masjid Jamek Kuala Lumpur, Stesen Kereta Api Tanah Melayu dan lain-lain. Di sinilah aktiviti perlombongan bijih timah bermula di Kuala Lumpur, menjadi pemangkin kejayaan ekonomi Semenanjung Tanah Melayu seterusnya negara Malaysia sekarang.
Perasmian bangunan
[sunting | sunting sumber]Perletakan batu asas dilakukan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles Bullen Hugh Mitchell K.C.M.G. pada 6 Oktober 1894 . Residen British di Selangor waktu itu ialah W.H Treacher C.M.C. Setelah siap sepenuhnya , bangunan ini di rasmikan oleh Residen Jeneral negeri Selangor, Sir Frank Swettenham K.C.M.G. pada 4 April 1897.
Tujuan pembinaan
[sunting | sunting sumber]Pentadbiran British di Selangor memerlukan Ibu Pejabat baru bagi mentadbir negeri . Sebelum ini ibu negeri Selangor terletak di Klang dan agak jauh dari kawasan yang maju di Kuala Lumpur. Residen Jeneral British di Selangor pada waktu itu ialah Sir Frank Swettenham .Sultan Abdul Samad memerintah negeri Selangor dari 1857 hingga 1898 setuju Kuala Lumpur dijadikan ibu negeri Selangor .
Antara pejabat yang akan ditempatkan di sini ialah Sekretariat Kerajaan (G.S.O); bilik mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber); Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board); Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner); Public Works Department (PWD); Audit dan Perbendaharaan; Pejabat Tanah; Jabatan Galian dan Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office).[1]
Fungsi bangunan ini ditukar beberapa kali. Bangunan ini pernah dijadikan Mahkamah Agung di bawah Kementerian Kehakiman. Oleh itu disediakan tempat letak kereta untuk hakim - hakim dan pegawai–pegawai kerbau
Sejarah pembinaan
[sunting | sunting sumber]Kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (PWD).
Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan di antara bangunan lama yang terdapat di Kuala Lumpur dan merupakan bangunan warisan yang masih dilindungi keaslian rekabentuknya. Bangunan ini dibina pada tahun 1893. Tetapi perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu. Bangunan ini siap dibina dan digunakan pada tahun 1897. Nama bangunan ini diambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah pada ketika itu, iaitu dalam tahun 1896. Bangunan itu merupakan mercu tanda Kuala Lumpur yang gagah pada masa itu.
Bangunan tersebut terletak pada satu tapak di antara pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak dan terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu ditengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Keluasan kawasan tersebut adalah 1.034 hektar, dan keluasan bangunan pula adalah 10,200 meter persegi. Di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan. Kedudukan bangunan dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak. Sebelum merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen- General, Pejabat Besar Pos dan selepas kemerdekaan pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1978.
Pelan bangunan ini telah direkabentuk oleh arkitek dari British bernama A.C. Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga berasal dari British, iaitu C.E. Spooner. Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik seni binanya dan merupakan diantara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki yang berbentuk ladam dan di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Terdapat juga tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked.Bangunan ini juga mempunyai satu serambi besar tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam rekabentuk bangunan ini.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang berbentuk ‘saracenic’ merupakan satu ciri senibina Moorish dan Moghul yang berunsurkan Islam. 3 buah kubah yang menghiasi bangunan ini membuktikanya. Pada peringkat awal ia diperbuat daripada kayu dan batu bata yang dicat warna hitam, namun ia telah digantikan dengan kubah yang bersalut tembaga.
Sebanyak $152,000 telah dilaburkan untuk membina bangunan ini dan merupakan bangunan yang termahal di rantau ini pada ketika ia didirikan. Kos binaan setelah siap pada April 1897 ialah $152,824. Anggaran awal hanyalah $152,000.Tempoh masa pembinaan ialah 2 tahun 7 bulan. Sebuah kilang batu-batu di bina di Brickfields bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu.
Batu-bata yang berkualiti berwarna merah dibawa dari India. Para pekerja terdiri daripada kaum India. Antara kontraktor kecil yang membawa batu-bata ini ialah Ghouse, yang berasal dari Chittagong, India (sekarang Bangladesh). Batu-bata ini dibawa terus melalui Sungai Kelang dan ada sebuah pangkalan berhampiran Masjid Jamek sekarang.
Pada sekitar tahun 1978, pengubahsuaian bangunan telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM 17.2 juta. Pada ketika itu kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM 200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi ketiga-tiga kubah yang terdapat pada bangunan tersebut pada tahun 1982. Pengubahsuaian dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984.[2]
Pelan Bangunan
[sunting | sunting sumber]Pelan bangunan ini berbentuk ladam yang mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran/laman segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga. Kehadiran laman ini memberi pengudaraan kepada ruang legar di sebelah tampak dalam bangunan ini.
Bahagian utama bangunan ini ialah anjung yang menghadap ke arah Padang Kelab Diraja Selangor. Apabila memasuki pintu utama bangunan ini, kita dapat melihat tangga berbentuk separuh bulatan yang menuju ke kamar-kamar Hakim dan bilik-bilik Mahkamah Agung.
Ruang pejabat bangunan ini hampir 100 peratus dikelilingi serambi yang mana memberikan pengudaraan secara maksima, terutama pada zaman ian dibina tidak mempunyai pendingin udara. Kerja membangunkan bangunan ini telah menggunakan 4 juta batu-bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 paun tembaga, 50 tan besi, keluli dan 30,000 kaki padu kayu. Bangunan ini siap pada tahun 1897 dan dirasmikan dengan acara gilang-gemilang dengan ucapan Spooner yang menarik mengenai sejarah pembinaan bangunan tersebut. Teks lengkap ucapan beliau dalam Bahasa Inggeris boleh didapati dalam JMBRAS VOL. 65, tulisan The Bangunan Sultan Abdul Samad by J.M. Gillick.
Bangunan ini pernah menempatkan beberapa buah Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor. Seterusnya, bangunan ini telah menempatkan Mahkamah Persekutuan Malaysia dan sebahagian daripadanya menempatkan Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.[3]
Tampak Bangunan
[sunting | sunting sumber]Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer dan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek.
Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi.
Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios.
Arca yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Ia diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagungan bangunan ini.[4]
Seni reka bentuk
[sunting | sunting sumber]Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 41.5 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi. Reka bentuk dan binaannya berbentuk “Soracenic’ berasaskan seni bina Moghul dan Moor. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cardova dan Mesir.[5]
Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios.[6]
Menara Jam ini dijaga dan dibaiki dari semasa ke semasa kerana menjadi waktu standard di seluruh Malaysia. Menara Jam ini menyerupai Big Ben yang terdapat di kota London.
Gerbang yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagungan bangunan ini
Pemandangan dari udara, keseluruhan bangunan ini berbentuk F. Ia bangunan awam pertama di tapak berbentuk segi tiga di antara Jalan Raja dan Jalan Belanda (Jalan Mahkamah Persekutuan) yang melengkari ke arah barat sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang serta Mahkamah Tinggi (dahulunya Clarke St.).
Beberapa bangunan pentadbiran di India dibina menggunakan stail seni bina Islam 'Moor' atau 'Mahometan Style' terutama bangunan Taj Mahal di Agra, India. Terdapat unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong (arch), kubah potong bawang (dome) dan struktur berbentuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada seni bina Masjid. Nilai estetika ini menjadi ikutan arkitek di India, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan negara Komanwel yang lain.
Ubah suai 1978
[sunting | sunting sumber]Pengubahsuaian dilakukan pada tahun 1978 mengambil masa enam tahun, menelan belanja sebanyak RM 17.2 juta ringgit. Bumbung ditukar baru dan kubah kayu ditukar kepada kubah tembaga. Pada tahun 1978 bangunan ini menempatkan Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil dan Dagang serta Mahkamah Tinggi Jenayah. Mahkamah ini berpindah ke Istana Kehakiman di Putrajaya. Bangunan ini sekarang menempatkan Bahagian Komersil Mahkamah Tinggi Malaya.
Ubah suai dilakukan lagi pada 2007. Majlis penyerahan Bangunan Sultan Abdul Samad kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) telah diadakan pada 24 Disember 2008. Penyerahan adalah daripada SPAZ Sdn. Bhd. Kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia dan seterusnya kepada KPKKW.
Mulai 2007, bangunan ini dijadikan Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha, Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha , Bahagian Pengurusan, Unit Perhubungan Awam, Unit Undang-Undang, Unit Audit Dalam dan Perpustakaan KPKKW. Sempena majlis penyerahan bangunan ini juga turut diadakan bacaan Yassin dan doa selamat.
Lokasi acara penting
[sunting | sunting sumber]Bangunan ini menjadi latar belakang Perarakan Kemerdekaan setiap 31 Ogos dan sambutan malam Tahun Baru setiap 1 Januari . Perarakan kereta berhias sempena Pesta Flora juga diadakan di sini. Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 2009 dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. Lumba basikal Le Tour de Langkawi ditamatkan di hadapan bangunan ini. Beberapa drama dan filem tempatan , Hollywood dan Bollywood juga pernah mengadakan penggambaran di sini.
Masalah banjir
[sunting | sunting sumber]Bangunan ini turut dilanda banjir pada tahun 1971 apabila hujan lebat berlaku di seluruh negara. Jumlah hujan yang lebat itu ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu memuaskan di sekitar Kuala Lumpur.
Di belakang bangunan ini pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di mana di tengah-tengahnya adalah Masjid Jamek yang juga menggunakan ciri-ciri arkitektur yang sama oleh arkitek yang sama. Stesen komuter Masjid Jamek terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek. Laluan air sungai selalu tersekat apabila sampah-sarap tersangkut pada tiang-tiang stesen komuter. Banjir kilat berlaku akibat perancangan stesen komuter yang tidak tepat ini.
Tempat parkir kereta di bawah Dataran Merdeka tenggelam beberapa kali apabila banjir kilat berlaku seperti pada 2003 dan 2007. Semasa banjir kilat pada 10 Jun 2007 antara jam 6.00 hingga 8.00 malam , air sedalam 1.8 meter di beberapa tempat.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Butcher, J.G., (1979), The British in Malaya 1880-1941, Kuala Lumpur: Oxford University Press.
- Candidate's Separate Statement, the Royal Institute of British Architects, 30 March, 1896.
- Davies, P., (1987), Splendours of the Raj: British Architecture in India 1660-1947, Middlesex: Penguin Books Ltd.
- Dickie, M., "Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja", Majalah Akitek, March and April 1986.
- Gullick, J.M., "The Bangunan Sultan Abdul Samad", JMBRAS 65, Part 1, June 1992.
- Hesketh, R.F., (1986), ed., Architecture of the British Empire, London: Thomas Telford Ltd.
- Proposer's Separate Statement, the Royal Institute of British Architects, 28 March, 1896.
- Tate, M.D.J., (1987), Kuala Lumpur in Postcards 1900-1930: From the Collections of Major David Ng and Steven Tan, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
- Vlatseas, S., (1990), A History of Malaysian Architecture, Singapore: Longman Singapore Publishers Pte. Ltd.
- Yeang, K., (1992), The Architecture of Malaysia, Amsterdam: The Pepin Press.
Nota kaki
[sunting | sunting sumber]- ^ "Bangunan Sultan Abdul Samad". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-22. Dicapai pada 2009-05-16.
- ^ "Perpustakaan Negara Malaysia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-28. Dicapai pada 2016-06-22.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-03-10. Dicapai pada 2016-06-22.
- ^ http://malaysiana.pnm.my/senibina/Seni%20Bina%20Web%20v2/b_bersejarah/bsultanabdsamad/tampak.html Diarkibkan 2010-07-26 di Wayback Machine Bangunan Sultan Abdul Samad]
- ^ "Majlis Penyerahan Bangunan Sultan Abdul Samad Kepada KPKKW". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-17. Dicapai pada 2009-02-17.
- ^ building conservation
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Gambar-gambar Bangunan Sultan Abdul Samad
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Bangunan Sultan Abdul Samad |
- Sultan Abdul Samad Building information from National Library of Malaysia
- Tourism Malaysia - Sultan Abdul Samad Building