Pembersih hampagas
Pembersih hampagas (Jawi: ڤمبرسيه همڤاݢس ) merupakan peralatan elektrik yang menggunakan pam uadara bagi menghasilkan keadaan hampagas separa untuk menyedut habuk dan kotoran, selalunya dari lantai. Kotoran tersebut seterusnya dikumpulkan di dalam beg habuk untuk dibuang.
Teknologi
Sedutan hampagas terhasil daripada perbezaan tekanan udara. Satu kipas elektrik mengurangkan tekanan udara di dalam mesin. Tekanan atmosfera kemudian menolak udara melalui permaidani serta melalui muncung supaya habuk boleh ditolak masuk ke dalam beg.
Ujian menunjukkan bahawa penggunaan pembersih hampagas berupaya membunuh 100% anak kutu serta 96% kutu dewasa.[1]
Seorang pencipta British membangunkan satu teknologi pembersihan yang dikenali sebagai Teknologi Kitar Semula Udara yang menggunakan aliran udara untuk mengumpul habuk dari permaidani dan bukannya hampagas.[2] Teknologi ini telah diuji oleh Program Transformasi Pasaran (MTP) serta terbukti lebih cekap menggunakan tenaga berbanding kaedah hampagas.[3] Walaupun prototaip berfungsi wujud, teknologi tersebut setakat ini belum digunakan pada mana-mana pembersih pengeluaran.
Konfigurasi
Konfigurasi lazim bagi pembersih hampagas termasuklah:
- Jenis menegak - Pembersih hampagas jenis ini mengambil bentuk sebagai kepala pembersih di mana pemegang dan beg habuk dipasang. Reka bentuk menegak biasanya menggunakan berus berputar bagi menanggalkan habuk melalui sapuan berputar sebelum disedut oleh kipas utama ke beg habuk.
- Jenis kanister atau tangki - Reka bentuk ini menempatkan motor dan beg habuk di dalam satu unit kanister berasungan (biasanya dipasang roda) serta disambungkan ke kepada pembersih melalui hos anjal. Walaupun pembersih hampagas jenis menegak lebih berkesan daripada jenis kanister, namun mesin jenis kanister lebih popular disebabkan kepalanya yang lebih ringan dan lebih mudah untuk digerakkan.
- Jenis basah dan kering - Merupakan sejenis pembersih hampagas kanister khas yang boleh digunakan untuk membersihkan tumpahan cecair. Jenis ini boleh menyedut kotoran basah dan kering; sesetengah model turut dilengkapi suis ataupun rongga ekzos untuk menterbalikkan aliran udara bagi membolehkan pembersih hampagas ini digunakan untuk meniup habuk supaya mudah dikumpulkan.
- Jenis basah dan kering pneumatik - jenis pembersih hampagas basah dan kering dan menggunakan tekanan udara mampat dan bukannya motor elektrik.
- Jenis beg sandang - Merupakan sejenis pembersih hampagas kanister di mana unit utamanya disandangkan di belakang badan pengguna sebagaimana beg sandang.
- Jenis terbina dalam atau berpusat - terdiri daripada satu sistem paip hampagas yang dipasang pada bangunan serta mempunyai soket bagi membolehkan hos kepala pembersih dipasangkan. Paip-paip hampagas ini dihubungkan ke bilik yang menempatkan motor penyedut utama serta beg habuk. Beg habuk bagi sistem ini sangat besar sehinggakan kerja-kerja membersihkan beg tersebut hanya perlu dilakukan beberapa kali setahun. Angin ekzos disalurkan keluar terus dari bangunan.
- Jenis robotik - merupakan robot khas yang berfungsi sebagai pembersih hampagas serta berfungsi sendiri tanpa memerlukan tindakan manusia. Sesetengah model berupaya untuk mengosongkan beg habuk sendiri serta pergi ke dok mengecas sendiri apabila bateri mulai lemah.
- Jenis tangan - merupakan pembersih hampagas kanister kecil sama ada menggunakan bateri, bekalan elektrik sesalur ataupun soket penyala rokok bagi kegunaan dalam kereta.
- Jenis gelendong - bagi kegunaan industri. Kepala pembersih terletak di atas gelendong industri serta menggunakannya sebagai bekas habuk.
Kebanyakan pembersih hampagas turut disertakan dengan beberapa aksesori untuk membolehkan pengguna membersihkan kawasan yang sukar dicapai oleh kepala pembersih utama. Antaranya termasuklah:
- Berus penyapu
- Muncung penyedut tirus
Penapisan ekzos
Secara semulajadinya pembersih hampagas boleh menyebabkan habuk untuk dibawa oleh udara, dengan membuang udara ekzos yang tidak ditapis sepenuhnya. Ia berkemungkinan menyebabkan masalah kesihatan terutamanya kepada pengguna yang mengalami lelah serta masalah pernafasan, memandangkan pengguna berkemungkinan akan menyedut habuk tersebut. Terdapat beberapa cara yang lazim digunakan oleh pengeluar bagi menyelesaikan masalah ini. Sesetengah kaedah digabungkan bersama di dalam satu unit pembersih hampagas. Biasanya penapis ditempatkan sebegitu rupa supaya udara yang masuk akan melalui penapis tersebut dahulu sebelum ia melalui motor. Pembersih hampagas biasa tidak boleh digunakan untuk membersikhan gentian asbestos, walaupun penapisnya adalah dari jenis HEPA.[4]
Lihat juga
Nota kaki
- ^ "Cat Fleas' Journey Into The Vacuum Is A 'One-way Trip'". Sciencedaily.com. 2007-12-22. Dicapai pada 2010-06-19.
- ^ Edginton, B. (2008) “The Air Recycling Cleaner” http://www.g0cwt.co.uk/arc/ Accessed:20 August 2009.
- ^ Market Transformation Programme (2006), “BNXS30: Vacuum cleaners – UK market, technologies, energy use, test methods and waste” http://www.mtprog.com/spm/download/document/id/613 Accessed: 20 August 2009.
- ^ "Asbestos essentials em4 Using a Class H vacuum cleaner for asbestos" (PDF). Dicapai pada 2010-06-19.
Rujukan
- "The origin of the vacuum cleaner," H. Cecil Booth, Transactions of the Newcomen Society, 1934–1935, Volume 15.
- "Mr Booth's answer wasn't so dusty" Diarkibkan 2007-10-14 di Wayback Machine, Chichester Observer
- Vacuum Cleaners - Energy Use - MTP
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Pembersih hampagas. |
Wikisumber mempunyai teks dari artikel di Ensiklopedia Britannica 1911 Pembersih hampagas. |