Sekolah menengah jenis kebangsaan
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris: National-type Chinese Secondary School; Cina Ringkas: 国民型华文中学; Cina Tradisional: 國民型華文中學; pinyin: Guómínxíng Huáwén Zhōngxué, singkatannya SMJK atau SMJK(C), Cina Ringkas: 华中; Cina Tradisional: 華中; pinyin: Huázhōng) merujuk kepada subset sekolah menengah awam kerajaan yang asalnya menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantara di Malaysia.
Perkembangan sekolah Cina bermula sejak abad ke-19. Sekolah menengah yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantara turut diasaskan. Sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, kebanyakan sekolah menengah Cina menukar statusnya kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan menggunakan bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sekolah Menengah Cina Chung Ling merupakan sekolah menengah Cina pertama yang menerima bantuan kewangan kerajaan untuk menukar status menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.
SMJK dipakai guna dalam nama sekolah untuk membezakan antara 81 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Sebelum Perang Dunia Kedua, kerajaan hanya memberikan bantuan kepada sekolah aliran Inggeris. Pendidikan dalam bahasa lain, termasuk bahasa ibunda pelbagai kaum, ditanggung sendiri oleh komuniti masing-masing bagi menubuhkan sekolah dan membayar gaji guru. Pendidikan Cina ketika itu kebanyakannya mengikut sistem pendidikan dari China, termasuk penggunaan buku teks dari China dan sukatan pelajaran juga dari sana.
Pada tahun 1942, Jepun menyerang Tanah Melayu dan menyebabkan banyak sekolah Cina ditutup. Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, barulah sekolah mula dibuka semula. Sebelum perang, pendidikan Cina di Tanah Melayu tertumpu kepada sekolah rendah sahaja. Selepas itu, pendidikan menengah mula berkembang. Sekolah menengah Cina yang baharu juga mula ditubuhkan. Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, sudah wujud lebih 60 buah sekolah menengah Cina di seluruh negara.
Selepas pengambilalihan kuasa oleh kerajaan Komunis di China pada tahun 1949, kerajaan British mengharamkan sekolah Cina daripada mengambil guru dari China antara tahun 1948 hingga 1955. Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1949. Untuk melaksanakan dasar pemerkasaan bangsa dalam pendidikan, Laporan Barnes diterbitkan pada tahun 1950. Kerajaan penjajah British kemudian mencadangkan sistem pendidikan yang berasaskan bahasa Inggeris. Pada tahun 1952, sistem “Bantuan Kewangan” diperkenalkan, di mana sekolah akan diberi bantuan kewangan supaya dapat membuat kawalan ketat pada sekolah-sekolah tersebut.
Pada tahun 1954, kerajaan Persekutuan mengumumkan Kertas Putih Pendidikan, mencadangkan supaya sekolah-sekolah Cina ditukar kepada “Sekolah Jenis Kebangsaan”. Tindakan ini merupakan kesinambungan kepada penguatkuasaan Ordinan Pendidikan 1952. Menteri Pendidikan ketika itu, Tun Razak, menyokong cadangan ini dan mengumumkan semua sekolah menengah Cina akan ditukar kepada Sekolah Kerajaan. Pada 7 Disember 1956, kerajaan melaksanakan perubahan bahasa pengantar dari bahasa Cina kepada bahasa Inggeris terhadap sekolah menengah Cina.
Menarik Sekolah Menengah Cina menukar status
Pada tahun 1955, Sekolah Menengah Chung Ling di Pulau Pinang memohon kepada kerajaan untuk menukar status kepada “Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan” secara rahsia. Pada bulan Jun 1956, Chung Ling menjadi sekolah menengah Cina pertama yang menerima bantuan penuh kerajaan dan menukar sistem pentadbiran, sukatan pelajaran dan bahasa pengantar. Pengetua Chung Ling ketika itu juga menjadi pengerusi Lembaga Sekolah Menengah Cina, menyebabkan sekolah lain turut terpengaruh. Pada tahun 1957, Sekolah Menengah Yuk Choy di Ipoh, Perak, yang dahulunya enggan menerima bantuan, akhirnya tunduk kepada kerajaan selepas kerajaan berjaya menembusi dua sekolah utama ini.
Selepas Akta Pendidikan 1961 diluluskan oleh Parlimen, Menteri Pendidikan menekankan bahawa sekolah Cina dan pemimpin masyarakat Cina seperti Lee Siok Yew serta akhbar-akhbar Cina telah memuji manfaat perubahan sistem, seperti yuran dikurangkan, beban kewangan ibu bapa dikurangkan, kebajikan guru terjamin, dan separuh daripada masa pengajaran masih menggunakan bahasa Cina.
Kerajaan mula menggunakan pendekatan lunak, menggunakan insentif kewangan untuk menggalakkan sekolah menengah Cina menukar statusnya kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Namun, pada tahun 1962, dua aliran muncul dalam kalangan sekolah menengah Cina di negara ini:
- Menolak bantuan dan memilih untuk kekal sebagai “Sekolah Menengah Persendirian Cina”.
- Menerima bantuan dan menjadi “Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan”.
Sekolah yang menerima bantuan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk gaji guru. Lembaga pengelola sekolah juga diberi kuasa untuk menguruskan sekolah. Yuran untuk pelajar tingkatan satu ditetapkan sebanyak RM5, manakala tingkatan empat RM7.50. Sekolah juga dibenarkan memohon pengecualian yuran bagi pelajar miskin. Sehingga tahun 1980-an, semua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Yuran sekolah menengah dikecualikan.
Sekolah menengah Cina yang menukar statusnya menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan pada tahun 1962, Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan bahawa sekolah-sekolah tersebut hanya boleh menerima pelajar dalam had umur dan lepasan SJKC yang lulus MSSEE. Namun, kerajaan membenarkan sekolah menengah yang telah ditukar sistemnya ini menubuhkan “kelas persendirian” di dalam kawasan sekolah yang sama tetapi dijalankan pada sesi petang. Kelas ini menampung pelajar yang terlebih umur dan gagal peperiksaan darjah enam, serta mengekalkan pengajaran dalam bahasa Cina. Walau bagaimanapun, gaji guru bagi kelas persendirian ini tidak ditanggung oleh kerajaan.
Lembaga pengelola sekolah perlu menanggung perbelanjaan, dan pelajar diwajibkan membayar yuran pengajian. Beberapa tahun kemudian, semua lepasan Sekolah Rendah Cina secara automatik boleh menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. Lepasan menengah rendah juga secara automatik boleh naik ke tingkatan empat. Disebabkan pelajar dari kawasan luar bandar agak terhad bilangannya atau lembaga pengelola sekolah tidak mampu menanggung gaji guru dan perbelanjaan pentadbiran sekolah, maka mereka terpaksa meneruskan sistem “kelas persendirian”.
Sebaliknya, di kawasan bandar yang mempunyai ekonomi lebih stabil, lembaga pengelola mampu memperluaskan dan membina sekolah baharu untuk membuka “kelas persendirian”.
Sistem Pendidikan Selepas Penukaran Status
Selepas penukaran sekolah menengah Cina, pada peringkat awal bahasa pengantar ditukar kepada bahasa Inggeris, namun satu mata pelajaran iaitu Bahasa Cina masih diajar dalam bahasa Cina. Tempoh persekolahan ialah lima tahun, dengan Tingkatan Satu hingga Tiga sebagai peringkat menengah rendah dan Tingkatan Empat hingga Lima sebagai menengah atas. Pelajar Cina yang menamatkan pendidikan sekolah rendah perlu memasuki kelas peralihan yang bertempoh satu tahun untuk menyesuaikan diri dengan sistem pengantar baharu.
Graduan menengah rendah perlu menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE). Mereka yang lulus LCE akan memasuki ke Tingkatan Empat. (Pada peringkat awal, pelajar menengah rendah boleh terus ke Tingkatan Empat selepas tamat, kemudian diwajibkan lulus LCE terlebih dahulu.)
Graduan menengah atas pula mesti menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) yang kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Mata pelajaran Bahasa Cina dijawab dalam bahasa Cina, manakala mata pelajaran lain menggunakan bahasa Inggeris.
Selain Bahasa Cina, subjek-subjek lain dijawab dalam Bahasa Melayu selepas sistem pendidikan menukar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pelajar Tingkatan Tiga mesti menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), manakala pelajar Tingkatan Lima menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selepas penukaran, subjek Bahasa Cina diajar sebanyak tujuh kali seminggu (setiap sesi 40 minit). Pendidikan jasmani, seni lukis, muzik dan sebagainya boleh diajar dalam bahasa ibunda. Buku teks bagi mata pelajaran Bahasa Cina dibahagikan kepada tiga bahagian: tulisan dan pemahaman (peringkat menengah atas dikenali sebagai ‘Kesusasteraan Cina’), sejarah Cina dan karangan. Buku bacaan tambahan juga digalakkan; pelajar dikehendaki membaca dua buah buku sastera sepanjang tahun (satu pada waktu sekolah dan satu lagi semasa cuti), dan perlu membuat laporan bacaan.
Ciri-ciri
[sunting | sunting sumber]Di bawah peruntukan Akta Pendidikan 1996, walaupun Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, SMJK masih mengekalkan ciri-ciri khas tertentu yang membezakannya dengan SMK biasa. Perbezaan utama termasuk:
- Pengetua dan pentadbir sekolah harus memiliki kelayakan bahasa Cina, kecuali di kawasan yang kurang penduduk Cina.
- Pihak sekolah menggunakan nama SMJK dalam papan tanda sekolah.
- Lembaga pengelola SMJK mengurus harta sekolah yang berbeza dengan SMK yang diurus sepenuhnya oleh kerajaan.
- Kebanyakan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan mempunyai majoriti pelajar Cina dan guru.
- SMJK menetapkan Bahasa Cina sebagai mata pelajaran wajib di mana semua pelajar diwajibkan untuk mendaftar dan menduduki mata pelajaran Bahasa Cina pada peringkat SPM.
- Waktu pembelajaran setiap minggu yang ditetapkan adalah 5-7 waktu dengan peruntukan masa selama 200-280 minit.
- Kelas Bahasa Cina akan diaturkan dalam jadual waktu umum.
- Pengumuman dan notis sekolah sentiasa menggunakan dwibahasa (iaitu bahasa Melayu dan bahasa Cina)
- Pelajar SMJK majoritinya berasal dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
- SMJK biasanya mempunyai lembaga pengelola, PIBG dan alumni yang aktif membangunkan sekolah.
- Sekolah mengekalkan identiti budaya Cina melalui persatuan bahasa, muzik tradisional, tarian dan aktiviti seni.
- Aktiviti seperti kaligrafi, penulisan sastera Cina, seni bela diri, dan tarian singa dianjurkan secara aktif.
Senarai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan
[sunting | sunting sumber]