Bukit Nanas
Koordinat: 3°09′10″N 101°42′09″E / 3.15278°N 101.70250°E
Bukit Nanas (dikenali sebagai Weld's Hill ketika zaman penjajahan Inggeris)[1] adalah sebuah bukit di Kuala Lumpur yang terkenal sebagai mercu tanda terletaknya satu-satunya hutan hujan tropika dara dalam lingkungan ibu kota. Pihak berkuasa bandaraya berdedikasi untuk memelihara hutan yang terletak di pusat Kuala Lumpur. Dahulunya menjadi tempat tinggal harimau Malaya dan gajah, hutan belantara ini masih didiami oleh monyet, ular sawa, tupai, dan biawak.
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Tempat itu terdahulu asalnya dinamakan sebagai Bukit Gombak dipercayai sempena nama penghulu orang asli Hulu Klang, Tok Gombak.[2] Menurut satu cerita, nanas ditanam di sekeliling benteng sebagai pertahanan menangkis serangan tentera Raja Asal dalam Perang Kelang,[3][4] lalu membawa kepada nama Bukit Nanas kini.[5][6]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Dato' Dagang Dianjuk Haji Abdullah Hukum bin Haji Abdul Rahim, (10 November 1935). "Riwayat Kuala Lumpur". Warta Ahad.
Bukit Nanas dikenali sebagai salah satu penempatan Melayu terawal di Kuala Lumpur serta pusat kuasa Melayu di sana. Pada sekitar 1857, pembesar Selangor Raja Abdullah dari Klang mengumpul dana untuk membuka lombong bijih timah di kawasan Ampang, dan dengan berbuat demikian, memulakan pembangunan Kuala Lumpur sebagai penempatan utama di tebing Sungai Klang yang akan memberi perkhidmatan kepada lombong lebih jauh ke pedalaman. Dalam mengukuhkan kewibawaannya di kawasan itu, Raja Abdullah kemudiannya menghantar ketenteraan pimpinan Syahbandar Yaseh untuk berkhidmat sebagai garison bagi Kuala Lumpur. Yaseh memilih Bukit Nanas sebagai lokasi untuk membina kubu pada 1860-an.[7] Peta Kuala Lumpur yang dilakar oleh Residen Sir Frank Swettenham pada 1875 menunjukkan tempat yang ditandakan sebagai "rumah Raja Melayu di atas bukit" yang berkemungkinan merupakan kubu Bukit Nanas.[7]
Bukit Nanas merupakan antara tempat penting dalam Perang Kelang dalam sejarah Selangor. Dalam perang ini, Raja Asal mengepung Bukit Nanas, tempat puak Tengku Kudin dan warga tentera upahan, termasuk orang Eropah ditempatkan. Syahbandar Yaseh sendiri terbunuh pada 1872 dalam peperangan ini. Pengepungan itu memaksa puak Tengku Kudin cuba melarikan diri, tetapi ditangkap di Petaling dan dibunuh. Ketua puak Hakka Yap Ah Loy, Kapitan Kuala Lumpur, pula berjaya melarikan diri ke Klang.[8] Kuala Lumpur kemudiannya dikuasai oleh tentera Raja Mahdi dan dimusnahkan. Jejak terowong zaman Perang Klang telah ditemui di Bukit Nanas.[9]
Mercu tanda dan perhutanan
[sunting | sunting sumber]-
Menara Kuala Kumpur di Bukit Nanas
-
Sekolah Convent Bukit Nanas
-
Katedral St. John
Bukit Nanas terletak di Hutan Lipur Bukit Nanas yang terbuka kepada orang awam, dengan tersedianya denai hutan, pusat pelancong, dan muzium perhutanan. Pada 1990-an, Menara Kuala Lumpur dibina atas bukit ini, lengkap dengan geladak pemerhatian, dewan jamuan dan restoran berputar. Di bukit itu juga terdirinya dua buah sekolah zaman British yang usianya menjangkau seabad, iaitu St John's Institution dan Convent Bukit Nanas. St. John's telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan oleh kerajaan persekutuan. Sebuah mercu tanda keagamaan terkemuka dan terkait di situ ialah Katedral St. John, sebuah gereja Katolik Rom yang serupa seni binanya dengan St. John's dan Convent Bukit Nanas.
Pada 1906, 17.5 hektar tanah di Bukit Nanas telah diwartakan sebagai hutan simpan. Bahagian besar bagaimanapun telah digunakan untuk pembangunan Menara Kuala Lumpur dan tujuan lain, dan kini hanya tinggal 9.3 hektar hutan simpan.[5] Ia pada asalnya dinamai Bucket Weld Forest Reserve, dan kemudiannya, Bukit Nanas Forest Reserve, dan kini KL Forest Eco Park.[10]
Kemudahan
[sunting | sunting sumber]Tambahan dari itu, Bukit Nanas juga mempunyai sebuah loji pembersihan air mentah, Loji Pembersihan Air Bukit Nanas di Jalan Puncak. Loji pembersihan air ini merupakan loji pembersihan air yang terutama di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur yang telah wujud sejak 1959. Loji Pembersihan air ini adalah loji pembersihan air mentah yang masih menggunakan teknologi lama British dalam sistem pembersihan air dan pengagihan air secara komersial. Namun begitu, sistem pengendaliannya yang masih selamat, efisien dan mudah menjadikan loji pembersihan air ini mendapat pelbagai anugerah keselamatan dan standard di peringkat Malaysia dan antarabangsa.
Pengangkutan
[sunting | sunting sumber]Stesen Monorel Bukit Nanas dibina berhampiran, dan dibuka pada 2003 di bawah laluan Monorel KL. Sebuah laluan kereta kabel telah dibina di Bukit Nanas sejak 1970-an, tetapi tidak lagi digunakan sejak 1980-an. Pada Ogos 2012, kawasan hutan ditutup kepada orang ramai sementara kereta kabel itu dibina semula. Meskipun laluan hutan telah dibuka semula, perkhidmatan kereta kabel pula masih belum dipulihkan.[11]
Galeri
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Rough Guides Snapshot Malaysia: Kuala Lumpur. Rough Guides. 3 Ogos 2015. ISBN 9780241241950.
- ^ Nor 'Asyikin Mat Hayin (8 November 2017). "Bukit Gombak nama asal Bukit Nanas". Harian Metro. [halaman diperlukan]
- ^ Vijenthi Nair (21 Januari 2015). "Secret tunnel believed to be escape route during conflict". The Star.
- ^ "Secret tunnel from Bukit Nanas to Klang River found!". Free Malaysia Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2015. Dicapai pada 18 Februari 2015.
- ^ a b "A walk through the Bukit Nanas Forest Reserve". Rain Forest Journal.
- ^ N. A. Halim (13 Mei 1998). "Asal nama Bukit Nanas". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Ogos 2016. Dicapai pada 19 Julai 2016.[halaman diperlukan]
- ^ a b Gullick, J.M. (Jun 1990). "The Growth of Kuala Lumpur and the Malay Communities in Selangor Before 1880" (PDF). Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. LXIII (Part I): 15–17. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 15 Ogos 2016.
- ^ Tan Ding Eing (1975). A Portrait of Malaysia and Singapore. Oxford University Press. m/s. 82–85. ISBN 978-0195807226.
- ^ Lee Choon Fai (20 Januari 2015). "Ancient tunnel found on Bukit Nanas". The Sun Daily.
- ^ "Bukit Nanas Forest Reserve". Official Portal Ministry of Natural Resources and Environment. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 September 2016.
- ^ "Bukit Nanas cable car service may return". The Star. 23 Januari 2015.