Ibu negara
Ibu negara merujuk kepada bandar pentadbiran bagi sesuatu negara. Ia biasanya merupakan bandar penting dalam negara tersebut disebabkan kebanyakan pejabat tadbir dan pemimpin negara biasanya tinggal di bandar tersebut. Ia biasanya menampung jabatan-jabatan pentadbiran negara dan sebuah dewan perwakilan rakyat yang sering kali disebut parlimen serta pejabat-pejabat komersil. Selain itu, ibu negara biasanya juga menampung perwakilan daripada negara-negara asing yang biasa dipanggil kedutaan besar.
Terdapat beberapa kekecualian:
- Ibu negara Belanda ialah Amsterdam, tetapi pusat pemerintahannya ialah Den Haag yang menampung perwakilan daripada negara-negara asing.
- Ibu negara Palestin (wilayah) Negara Palestin ialah Baitulmaqdis tetapi negara-negara lain menganggapnya sebagai sebuah bandar antarabangsa atau tidak mengiktirafkan Baitulmaqdis Timur sebagai kepunyaan Israel, dan menempatkan kedutaan mereka di Israel di bandar Tel Aviv. (Kecuali beberapa negara)
- Ibu negara Afrika Selatan ialah Pretoria (kerajaan), Cape Town (perundangan) dan Bloemfontein (kehakiman).
- Ibu negara Republik China yang rasmi ialah Nanjing namun kerana kalah di tangan Komunis dalam perang saudara, maka Chiang Kai-shek memindahkan pemerintahannya ke ibu negara sementara di Taipei, Taiwan.
- Ibu negara Malaysia ialah Kuala Lumpur tetapi pusat badan eksekutifnya terletak di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Parlimen masih terletak di Kuala Lumpur.
Kadang-kadang beberapa negara memindahkan ibu negara mereka atas alasan politik atau ekonomi. Beberapa negara yang pernah memindahkan ibu negara mereka ialah:
- Amerika Syarikat, dari New York ke Philadelphia lalu ke Washington, D.C.;
- Brazil dari Rio de Janeiro ke Brasilia;
- Kazakhstan dari Almaty/Alma Ata ke Astana;
- Turki dari Istanbul/Constantinople ke Ankara.
Sering kali, ibu negara harus dipindahkan kerana diduduki atau dikuasai negara asing, dan ibu negara "tandingan" atau sementara harus diasaskan di bandar lain:
- Lithuania antara tahun 1918 dan 1940 memindahkan ibu negaranya di Vilnius yang dikuasai oleh Poland ke Kaunas.
- Republik Indonesia memindahkan ibu negaranya beberapa kali antara tahun 1945 dan 1950, iaitu dari Jakarta ke Yogyakarta, lalu ke Bukittinggi sebelum kembali ke Jakarta.
- Perancis "Bebas" memindahkan ibu negaranya ke Vichy antara tahun 1940 dan 1944.
Kadang-kadang ibu negara harus dibahagikan dengan negara lain kerana dikuasai oleh musuh:
- Cyprus dengan ibu negaranya di Nikosia harus dibahagikan dengan Republik Turki Cyprus Utara sejak tahun 1974.
- Berlin terbahagi antara Republik Persekutuan Jerman (Jerman Barat) dan Republik Demokratik Jerman (Jerman Timur) pada tempoh 1949 - 1990.
Perbezaan dengan ibu negeri
[sunting | sunting sumber]Ibu negara berbeza dengan ibu negeri yang merupakan bandar pentadbiran kepada sesebuah negeri sahaja. Gabungan beberapa buah negeri akan membentuk negara seperti Malaysia, dan Amerika Syarikat.